Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 31 MAC 2026 : Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor pendidikan akhirnya membuahkan hasil apabila Pahang muncul antara negeri terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mata yang mengatasi purata kebangsaan 4.42 mata.
Peningkatan sebanyak 0.15 mata berbanding 4.23 mata pada tahun 2024 ini mencerminkan keberkesanan pelaburan strategik serta usaha holistik dalam melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berdaya saing.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan.
“Merujuk kepada Gred Purata Negeri (GPN), sukacita dimaklumkan bahawa pada keseluruhannya, pencapaian calon peperiksaan SPM tahun 2025 bagi Negeri Pahang adalah meningkat berbanding tahun 2024. Peningkatan adalah sebanyak 0.15 mata menjadikan nilai GPN 4.08 mata pada tahun 2025 berbanding 4.23 mata pada tahun 2024.
“Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan. Ini adalah hasil daripada usaha bersepadu memperkasakan sekolah melalui pendekatan sokongan berfokus, pemantauan berimpak tinggi serta intervensi instruksional yang sistematik.
“Walau bagaimanapun, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar sedikit melebar sebanyak 0.06 pada tahun 2025 berbanding tahun 2024, dengan peratusan jurang direkodkan sebanyak 18.97 peratus,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 96.52 peratus iaitu 16,822 calon layak menerima sijil pada tahun ini yang menunjukkan peningkatan berbanding 95.99 peratus iaitu 16,262 calon pada 2024.
“Peningkatan ini merupakan pencapaian berdasarkan syarat pensijilan sejak diperkenalkan pada tahun 2013 yang mana calon wajib lulus bagi dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk Layak Sijil SPM seperti yang dimaklumkan terdahulu.
“Pencapaian layak sijil dalam kalangan murid daripada latar belakang sosioekonomi rendah adalah lebih baik berbanding murid daripada latar belakang sosioekonomi selain rendah. Namun demikian, jurang layak sijil antara murid daripada latar belakang sosioekonomi rendah dan selain rendah telah menunjukkan pengurangan.
“Pencapaian Layak Sijil (LS) bagi kategori jantina murid lelaki dan perempuan menunjukkan peningkatan. Jurang pencapaian layak sijil SPM mengikut jantina juga telah merapat sebanyak 69.47 peratus pada tahun 2025, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program intervensi serta motivasi berasaskan jantina yang dilaksanakan secara strategik di semua daerah,” katanya. -PAHANGMEDIA

