Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 31 MAC 2026 : Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan 25 calon memperoleh keputusan semua A.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, institusi dibawah tajaan Yayasan Pahang yang kali pertama membuka pusat peperiksaan ini turut memperoleh 100 peratus calon Layak Sijil.
“Seramai 48 calon telah menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran. Daripada jumlah itu, seramai 25 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon Layak Sijil.
“Pada tahun 2025 Maahad Tahfiz Turath ini telah memperoleh GPS 0.60 mata. Maksudnya dia capai antara A dengan A plus. Jadi dah dibuktikan bahawa Maahad Tahfiz Turath ini satu pencapaian yang sangat besar kepada negeri Pahang.
“Selain menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk Al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi,” katanya.

Sementara itu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) turut meneruskan pencapaian cemerlang dengan 40 calon daripada 70 calon SPM memperoleh semua A.
“Maahad Tahfiz Negeri Pahang tajaan Yayasan Pahang telah meneruskan pencapaian cemerlang dalam SPM 2025. Seramai 70 calon telah menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran.
“Seramai 40 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon Layak Sijil. Pada tahun 2025 ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang memperoleh GPS 1.06 mata,” katanya.
Tambah beliau, bagi elektif Pengajian Islam, tujuh daripada sepuluh mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi dengan subjek Al-Adab Wa Al-Balaghah mecatat peningkatan tertinggi iaitu Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.28 mata.
Pahang merekodkan 671 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A, dan A- bagi semua mata pelajaran daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas. -PAHANGMEDIA

