Oleh: Norhafizan Zulkifli
BERA, 16 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap petugas agama di negeri ini dengan menyalurkan Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) kepada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim dan badan khairat kematian di Daerah Bera, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Seramai 264 penerima bagi daerah Bera menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM64,700 yang disampaikan menerusi satu majlis yang diadakan di Masjid Darul Fikri, di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 73 penerima adalah imam (RM300 seorang), 64 bilal (RM200), 50 siak (RM200), 28 guru takmir (RM200), 23 badan khairat kematian (RM400 setiap badan) dan 22 wali hakim (RM200).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, berkata pemberian bantuan itu adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada petugas masjid yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah khususnya dalam menyemarakkan syiar Islam di setiap komuniti.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan BKA dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM1,280,000 bagi seluruh penerima Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Wali Hakim dan Pengurus Jenazah seluruh Negeri Pahang.
Saya berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban dan dapat membantu tuan-tuan terutama bagi perbelanjaan sempena menyambut kedatangan Syawal nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian BKA Kluster Agama di Daerah Bera, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Abdul Zaki bin Md Zain; serta Pegawaj Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nassim Dato’ Haji Mod Sidek.
Tambahnya, bantuan berkenaan juga diharap dapat menjadi motivasi untuk mereka terus berbakti kepada agama dan masyarakat.
“Saya amat berharap dengan adanya insentif ini dapat menaikkan semangat tuan-tuan untuk terus berbakti di Negeri Pahang khususnya daerah Bera bagi menyebarkan agama Islam serta menjaga kesucian agama kita dan dapat mengimarahkan masjid-masjid kita terutama di bulan Ramadan ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

