Oleh: Norhafizan Zulkifli
BERA, 16 MAC 2026 : Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang kepada petugas agama di negeri ini nyata memberi kelegaan kepada penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Seorang penerima, Encik Shamsul Kamal Ahmad, 49, yang bertugas sebagai bilal di Surau Kebenaran Jumaat Taman Jati, di sini, berkata, sumbangan tersebut amat dihargai kerana dapat membantu menampung perbelanjaan keluarga menjelang Syawal.

Katanya, bantuan berkenaan akan digunakan untuk keperluan isteri, anak-anak serta ahli keluarga yang lain.
“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang. Alhamdulillah, bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“InsyaAllah duit ini akan digunakan untuk kegunaan anak-anak, isteri dan saudara-mara serta menampung mana-mana keperluan yang masih kurang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri Kluster Agama di sini.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Puan Siti Nur Bakri, 36, yang berkhidmat sebagai guru takmir di Kampung Orang Asli Bukit Gemuruh, di sini, turut melahirkan rasa gembira atas sumbangan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu membuat persiapan Hari Raya terutama bagi memenuhi keperluan keluarga.
“Saya memang gembira dengan bantuan ini kerana ia dapat membantu kita membuat persiapan raya walaupun secara sederhana.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan yang diberikan dan diharapkan bantuan seperti ini dapat terus membantu masyarakat termasuk pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 264 petugas agama di Daerah Bera menerima Bantuan Khas Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM64,700 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka memakmurkan institusi masjid dan menyebarkan syiar Islam. -PAHANGMEDIA

