Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2026 : Inisiatif Baucar Raya Moh Balik Negeri Pahang oleh Kerajaan Pahang terus memberi kegembiraan kepada perantau anak Pahang dalam membantu mereka pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Seorang penerima, Puan Norsyafikah Syuhada Mohd Nazeri, 34, yang tinggal di Semenyih berkata, dia tidak menyangka rezeki menjadi salah seorang daripada 10,000 penerima baucer raya pada tahun ini.

“Terkejut jugalah sebabnya isi sebelum-sebelum ni tak pernah dapat pun. Baru tahun ni dapat. Ingatkan macam scam ke apa tapi bila tanya orang lain pun dapat, betullah.
“Sebelum-sebelum ni memang dah cuba isi jugalah, dah dua kali rasanya, tak pernah dapat. So macam rezekilah. Tahun ni memang nak balik raya kampung. Gembira dapat duit, boleh buat tambahan duit minyak semua nak balik kampung.
“Terima kasih banyak-banyak untuk Tok Wan kita yang memang selalu provide untuk orang-orang Pahang especially. Memang ramailah yang dapat manfaat daripada semua program yang Tok Wan buat selama ni. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak Tok Wan,” katanya yang berasal dari Rumpun Makmur.
Sementara itu, Encik Alias Yahya, 68, dari Seri Kembangan dan berasal dari Pekan berkata, dia yang baru pertama kali memohon baucer raya ini tidak menyangka akan menjadi salah seorang penerima pada tahun ini dan merasa dihargai oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Pertama kali dapat. Sebelum ni tak pernah apply pun, yang ni dia ada app yang dia bagi. Pertama kali apply, terus dapat. Rasa dihargai sebab kita mengundi di Pekan. Membantulah kalau kita balik beraya.
“Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy dan Kerajaan Negeri Pahang membantu perantau-perantau Pahang yang di ibu negara. Terima kasih,” katanya yang merupakan pesara polis.
Seramai 10,000 perantau anak Pahang menerima baucar raya bernilai RM100 setiap seorang yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu mereka pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.
Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaan sejak diperkenalkan pada 2024 ini turut meningkatkan jumlah baucar daripada RM50 kepada RM100 serta jumlah penerima daripada 5,000 penerima kepada 10,000 berbanding tahun sebelumnya.
Pemberian baucar raya pada tahun ini juga dipertingkatkan secara lebih moden dan digital melalui pembelian barangan menerusi aplikasi e-wallet PahangGo. -PAHANGMEDIA

