KUANTAN, 11 MAC 2026 : Dakwaan berlakunya aktiviti pembalakan haram di kawasan Bentong seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hasil semakan terperinci yang dijalankan bersama agensi berkaitan mendapati aktiviti penebangan pokok yang dipaparkan dalam video berkenaan dijalankan di atas tanah hak milik persendirian dan terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Menurut kenyataan itu, kawasan berkenaan merangkumi lima lot tanah hak milik yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi tujuan pembangunan projek pertanian.
Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan dan pengurusan tanah yang memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pembangunan sektor pertanian setempat.
Sehubungan itu, kerja-kerja penebangan pokok di lokasi terbabit adalah sebahagian daripada proses penyediaan tapak bagi projek yang telah diluluskan secara sah dan bukan merupakan aktiviti pembalakan haram seperti yang didakwa.
JPNP turut menegaskan komitmen pihaknya dalam memastikan setiap aktiviti pembangunan dan guna tanah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa di samping memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Dalam masa sama, JPNP mengalu-alukan maklumat rasmi daripada orang awam dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang di bawah akta dan enakmen perhutanan negeri. -PAHANGMEDIA

