Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan Projek Jalan Perhubungan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling serta pembinaan jambatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gusai di Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dilaksanakan secara teratur, berfasa dan mematuhi semua keperluan teknikal serta perundangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah berkata, hasil lawatan tapak dan sesi taklimat projek pada 25 Februari lalu mendapati pelaksanaan projek berjalan lancar dan tidak terbengkalai seperti yang didakwa segelintir pihak.
Katanya, kemajuan fizikal semasa juga didapati mendahului jadual asal, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana dalam memastikan projek berimpak tinggi itu dapat disiapkan mengikut perancangan.
“Hasil penelitian mendapati terdapat fakta yang tidak tepat berkaitan jajaran sebenar projek, khususnya melibatkan Fasa 2A, 2B, 2C dan 2D.
“Untuk penjelasan, projek ini melibatkan pembinaan laluan baharu dan tidak menggunakan jalan balak sedia ada sebagai jajaran projek,” katanya dalam satu kenyataan kepada Pahang Media hari ini.

Tambahnya, projek yang dilaksanakan oleh Ambang Besar Sdn. Bhd. dengan kos keseluruhan RM156.211 juta itu bermula pada 3 Ogos 2022 dan dijangka siap pada April 2027.
Dalam pada itu, beberapa isu dikenal pasti termasuk aspek keselamatan dan kesihatan penduduk berikutan pergerakan jentera berat serta penggunaan laluan sementara sepanjang tempoh pembinaan.
“Walau bagaimanapun, pihak berkuasa turut mengambil maklum rungutan penduduk berkaitan keadaan jalan ladang atau jalan sedia ada yang masih digunakan bagi pergerakan harian ke Kampung Gusai, terutamanya di lokasi-lokasi kritikal seperti Paya Poh, Bukit Buluh dan Bukit Kubur.
“Hasil perbincangan bersama, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) akan memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi ‘hotspot’ bagi tujuan penyelenggaraan berkala dan pelaksanaan langkah mitigasi sementara, khususnya dari aspek keselamatan penduduk dan kelancaran pergerakan harian, sementara menunggu projek utama disiapkan sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memantau rapi pelaksanaan projek termasuk isu pengambilan tanah dan pampasan agar dipercepatkan mengikut prosedur. -PAHANGMEDIA

