Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 27 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menjadi pelengkap kepada inisiatif Program Sejahtera Komunti MADANI (SejaTi MADANI) yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui bimbingan dan pengurusan yang sesuai kepada peserta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan modal kepada peserta, dan tanggungjawab Kerajaan Negeri pula untuk membekalkan mereka kemahiran insani.
“Selepas sahaja SejaTi MADANI, pihak Kerajaan Negeri melalui beberapa jabatan atau pun agensi terutama sekali di bawah, kalau saya di bahagian usahawan, kita akan melatih mereka ni dari segi soft skill pula.

“Memang mereka ada technical, hard skill, tapi kekurangan soft skill, pengawasan kewangan, marketing. Itu penambah nilai daripada apa yang dah dapat, kita akan angkat lagi ke peringkat yang lebih baik itu antaranya.
“Kiranya Kerajaan Negeri memperkukuhkan, memperkasakan dan untuk jadikan mereka lebih lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB. Menteri Besar Pahang menyampaikan Plak Kelulusan Program Sejahtera Komunti MADANI (SejaTi MADANI) kepada Komuniti Anak Muda Tani dan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim Sabai 1 (Komuniti Batu 4 Karak Setia) masing-masing berjumlah RM100,000 di Pejabat Tanah dan Daerah Bentong.

Tambah beliau, komuniti yang menerima SejaTi MADANI ini juga mempunyai kelayakan kerana mereka telah pun memiliki aktiviti perniagaan masing-masing.
“Dan ini adalah projek ataupun peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada komuniti-komuniti yang memang layak, yang telah pun menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan yang berunsurkan komuniti di setiap kampung masing-masing.
“Dan penerima ni memang dah berkecimpung dalam pertanian dengan baik dan pencapaian mereka juga amat baik di daerah Bentong, kedua penerima tersebut,” katanya. -PAHANGMEDIA

