Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 FEBRUARI 2026 : Pahang merekodkan skor tertinggi bagi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 yang digunapakai oleh Kerajaan Malaysia bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian rakyat secara menyeluruh.
Menurut satu kenyataan media oleh Kementerian Perpaduan Negara hari ini, Pahang mencatat skor sebanyak 0.817 dalam data mengikut negeri yang dikeluarkan.
“Bagi data IPNas 2025 secara berasingan mengikut negeri, tiga negeri telah mencatat skor tertinggi yang boleh dijadikan teladan bagi keharmonian masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama di Malaysia.
“Negeri Pahang merekodkan skor 0.817, menunjukkan perpaduan paling kukuh di negara ini, diikuti Melaka dengan skor 0.816 yang menandakan tahap perpaduan yang tinggi.
“Manakala, Sarawak pula mencatat skor 0.791, menggambarkan perpaduan yang kukuh dan konsisten di kalangan rakyatnya,” ujar kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan berkenaan, fakror utama yang mempengaruhi perpaduan negara menurut indeks berkenaan adalah melibatkan Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP).
“Faktor utama yang mempengaruhi perpaduan negara menurut IPNas 2025 adalah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) dengan sumbangan 69.7 peratus merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa, sumber oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Dalam kajian ini, TUP diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam komponen utama iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat, yang mencerminkan tahap keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.
“Seterusnya, Etos Nasional (EN) menyumbang 46.7 peratus menggambarkan semangat cinta akan negara dan rasa kekitaan; Tahap Keetnikan (TK) sebanyak 34.7 peratus mencerminkan kekuatan identiti etnik dalam masyarakat yang pelbagai; manakala Hubungan Sosial Rentas Etnik (HSRE) menyumbang 31.4 peratus, menekankan keakraban dan kepercayaan antara etnik,” katanya.
Pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional juga menunjukkan peningkatan konsisten sejak 2018 sehingga 2025 dengan skor bagi 2025 melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran RMK-12.
“YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyatakan bagi tahun 2025, Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) mencatatkan skor 0.701, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran RMK-12, menunjukkan perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh dengan semangat kebangsaan dan keyakinan terhadap tadbir urus negara yang lebih mantap.
“Trend sejak 2018 memperlihatkan peningkatan konsisten daripada 0.567 ke 0.629 (tahun 2022) dan akhirnya 0.701 (tahun 2025), menggambarkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional,” katanya.
IPNas memainkan peranan sebagai instrumen strategik dalam menilai kedudukan semasa perpaduan nasional serta menjadi panduan dalam penggubalan dasar dan intervensi kerajaan dan dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Pakarunding Universiti Kebangsaan Malaysia. -PAHANGMEDIA

