Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2026 : Program Ihya Ramadan Gerakan Koperasi Negeri Pahang 1447H/2026M yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di sini hari ini, dicadang untuk dijadikan sebagai acara tahunan dan diperhebatkan lagi pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu wajar diteruskan sebagai platform memperkukuh peranan gerakan koperasi dalam menyantuni masyarakat.
“Saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada pihak SKM dan juga koperasi-koperasi yang telah pun menyumbang kepada program yang sangat murni ini iaitu Program Ihya Ramadan.

“Dan kita anggap perkara ini adalah perkara tahunan, program tahunan. Saya harap pihak SKM dan juga koperasi yang terlibat, mungkin tahun depan kita buat lebih baik lagi apa yang kita laksanakan dan juga sumbangan-sumbangan yang ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini hari ini.
Antara pengisiannya program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) itu termasuklah alunan bacaan al-Quran dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah jemputan dari Bank Rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan usahawan khususnya di negeri ini agar memanfaatkan Ramadan sebagai bulan meningkatkan amalan dan pada masa sama menambah pendapatan secara beretika.

“Kepada usahawan-usahawan di Pahang, gunakanlah bulan ini, iaitu bulan yang terbaik dan jadikanlah bulan ini sebagai bulan amalan ibadat. Selain daripada kita berniaga, kita tambahkan sedikit iaitu bersedekahlah.
“InsyaAllah janji Allah itu pasti. Kalau usahawan itu bersedekah serba sedikit insyaAllah akan dapat pulangan balik kepada usahawan-usahawan yang berniaga pada hari ini.
“Jagalah harga, kebersihan dan juga berbudi bahasa bersama dengan pelanggan-pelanggan, insyaAllah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

