Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2026 : Cabaran Mara Lasak 2.0 menampilkan cabaran baharu berbanding sebelum ini di mana peserta akan melalui cabaran larian sejauh 15 kilometer sambil membawa bebanan seberat 5 kilogram setiap seorang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Majlis Rekreasi Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, cabaran yang akan dijalankan di Felda Chini 1 pada 5 April ini selari dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar penganjuran Mara Lasak Pahang ini diperluaskan ke daerah lain di negeri ini.
“Penganjuran program ini juga sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku agar lebih banyak program sukan dan rekreasi lasak dianjurkan di negeri ini bagi melahirkan anak muda yang tahan lasak, berjiwa kental, berjati diri serta mempunyai rasa kasih dan kecintaan yang mendalam terhadap negeri ini.
“Mara Lasak Pahang merupakan acara sukan lasak secara berpasukan, yang menguji ketahanan fizikal dan mental, serta memupuk semangat kerjasama jitu dalam diri setiap peserta.
“Bagi edisi kali ini, setiap peserta perlu menamatkan cabaran larian sejauh 15 kilometer secara berpasukan, termasuk melalui denai, mendaki bukit, merentasi ladang kelapa sawit, sambil membawa bebanan seberat 5 kilogram,” katanya.
Selain itu, beliau berkata edisi cabaran kali ini berdasarkan kemahiran membaca peta, navigasi darat dan kajian penilaian risiko juga turut memperkenalkan kelainan melalui penawaran lima kategori penyertaan yang dianggarkan dapat menarik kira-kira 1,000 peserta.
“Antara kelainan yang diperkenalkan pada edisi kali ini ialah penawaran 5 kategori penyertaan iaitu jemputan VIP yang diketuai Ketua Jabatan Peringkat Negeri; pasukan beruniform iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Pahang.

“Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang, Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (State GLC); pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Negeri Pahang; dan komuniti atau wakil kampung yang merupakan pengundi DUN Chini.
“Selain itu, edisi kali ini turut memperkenalkan anugerah Juara Keseluruhan Mara Lasak Pahang 2.0, iaitu ‘Best Of The Best Team’ daripada keseluruhan pasukan yang bertanding yang dinilai dari segi catatan masa. Juara keseluruhan bakal membawa pulang tambahan wang tunai bernilai RM1,000 serta piala pusingan,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang berminat perlu mengimbas kod QR pada iklan yang dibuka hari ini sehingga 8 Mac depan serta diwajibkan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak penganjur bagi memastikan kelancaran dan integriti pertandingan.
“Antaranya ialah setiap pasukan hendaklah terdiri daripada 10 orang peserta iaitu 7 lelaki dan 3 wanita; peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia; peserta hendaklah anak kelahiran Negeri Pahang, atau bekerja dan belajar di Negeri Pahang.
“Hadiah kemenangan bagi setiap kategori adalah Emas RM 2,000 dan medal; Perak RM1,500 dan medal; Gangsa RM1,000 dan medal; Keempat RM800 dan medal; dan Kelima RM700 dan medal,” katanya.
Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 di Kampung Ulu Dong, Raub telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tengku Mahkota bersama 570 peserta membabitkan 57 pasukan menyertai acara sejauh 10 kilometer melibatkan pelbagai cabaran termasuk meredah sungai, mendaki bukit, melalui hutan dan denai. -PAHANGMEDIA

