Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah melancarkan Pembangunan dan Pelantikan Champion Sistem e-Tanah Negeri Pahang Darul Makmur yang merupakan satu keperluan strategik bagi pengurusan tanah negeri.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sistem ini merupakan langkah transformasi digital yang sangat penting dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan tanah kekal relevan, cekap dan diyakini oleh rakyat.
“Berdasarkan realiti keluasan negeri, jumlah hak milik, kawasan berhutan serta Tanah Rizab Melayu yang begitu signifikan ini, maka pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Pahang bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik.

“Sistem ini diyakini dapat memperkemaskan pengurusan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh negeri, di samping mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses kerja, dan meningkatkan tahap ketelusan serta akauntabiliti.
“Harapan saya agar Sistem e-Tanah Negeri Pahang ini menjadi satu anjakan paradigma dalam tadbir urus tanah negeri, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata pelancaran ini merupakan satu mandat untuk dilaksanakan, bukan sekadar merancang dan dapat dirasai dan diwarisi oleh rakyat Pahang.

“Mandat untuk mengubah budaya kerja, bukan sekadar menukar sistem. Dan mandat untuk memberi hasil, bukan sekadar laporan. Saya mahu rakyat Pahang merasai perubahan ini secara nyata, urusan yang lebih cepat, maklumat yang lebih jelas, dan sistem yang lebih diyakini.
“Saya mahu pentadbiran tanah negeri ini menjadi pemudah cara kepada pembangunan, menjadi penyokong ekonomi dan bukannya beban birokrasi.
“Kita tidak membina sistem untuk hari ini sahaja. Kita sedang membina warisan pentadbiran untuk generasi Pahang yang akan datang,” katanya.

Menurut beliau, pelantikan Champion Sistem e-Tanah pada hari ini pula bukan sekadar simbolik tetapi merupakan agen perubahan kepada budaya kerja yang baharu.
“Ia merupakan satu pendekatan strategik bagi memastikan sistem ini benar-benar difahami, dikuasai dan diaplikasikan secara menyeluruh di semua peringkat.
“Champion yang dilantik diharapkan menjadi agen perubahan, pemudah cara dan pemangkin kepada budaya kerja baharu yang berteraskan teknologi, profesionalisme dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Pembangunan dan Pelantikan Champion Sistem e-Tanah Negeri Pahang Darul Makmur di Double Tree by Hilton Hotel hari ini. -PAHANGMEDIA

