Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 11 FEBRUARI 2026 : Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) diwujudkan sebagai penilaian kendiri bagi membantu setiap organisasi dan jabatan kerajaan menilai tahap kesihatan intregiriti masing-masing.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, SPINE dihasilkan oleh kepakaran tempatan dan telah dilaksanakan secara perintis dari 14 jabatan kerajaan.
“Dia (SPINE) dihasilkan oleh kepakaran tempatan dan kita dah buat secara pilot 14 jabatan. Jadi, termasuklah Jabatan Hutan dan dia dah diluncurkan oleh Perdana Menteri pada bulan November tahun lepas.

“SPINE yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyediakan kerangka yang sistematik untuk mengurus risiko integriti, menambah baik kawalan dalaman serta mempertingkatkan tahap pematuhan dan ketelusan dalam membuat keputusan.
“SPINE ini sebenarnya kita wujudkan dulu untuk setiap organisasi dan jabatan kerajaan menilai secara sendiri tahap kesihatan integriti jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Kolokium Integriti Perhutanan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia merupakan agensi kerajaan terawal melaksanakan SPINE sekali gus memperoleh pencapaian penilaian tahap Unggul sebanyak 92.37 peratus.
“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang menjadi antara agensi kerajaan terawal melaksanakan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) dan memperoleh pencapaian penilaian tahap Unggul dengan skor cemerlang sebanyak 92.37 peratus.
“Dia ada tahapnya. Sekiranya lulus ianya lebih daripada 85 peratus dan kalau bawah dari itu sederhana. Sekiranya ia bawah 60 peratus kena perbetulkan maknanya, kena perkemaskan lagi integriti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan penggunaan sistem ini diwajibkan kepada semua jabatan kerajaan secara berperingkat.
“Semua diwajibkan menggunakannya. Permulaan ini kita minta buat secara sukarelawan tapi nanti kita akan minta semua akan buat.
“Sebab tanpa kita ketahui tahap integriti kita sepanjang itu kita tak tahu sejauh mana kita menghayati integriti,” katanya. -PAHANGMEDIA

