Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 FEBRUARI 2026 : Negeri Pahang mencatatkan kejayaan signifikan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah apabila 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) telah berjaya dikurangkan sebanyak 100 peratus dan kini mencapai status Hijau.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian membanggakan ini membuktikan keberkesanan Program Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi yang dilaksanakan.
“Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan 100 peratus pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) melibatkan 12 kawasan yang kini telah mencapai status Hijau.

“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan Program Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi dalam menjayakan misi Dadah Terkawal 2025.
“Mukim-mukim yang telah berjaya diturunkan status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Mukim Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub; Mukim Pekan, Kuala Pahang dan Pahang Tua di Pekan; Mukim Perak dan Mentakab di Temerloh; Mukim Chenor (Jengka/Sentul) dan Chenor (Jengka/Bandar) di Maran; dan Mukim Kuala Kuantan di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pahang di Hotel Grand DarulMakmur, hari ini yang turut dihadiri, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut memberikan sokongan berterusan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT).
“Sepanjang tempoh lima tahun, Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2021–2025, diperkukuh melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di peringkat daerah dan negeri.
“Keberhasilan ini lahir daripada intervensi menyeluruh meliputi pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kerajaan negeri juga komited dalam menyalurkan sokongan berterusan bagi memperkasa inisiatif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.
“Kerajaan Negeri juga akan terus menyalurkan sokongan kewangan, logistik dan kerjasama strategik bagi memperkasa inisiatif AADK ke arah merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.
“Sasaran 5 tahun akan datang ialah memastikan kadar penagihan tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
“Sebagai contohnya, menerusi Belanjawan Negeri Pahang tahun ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM75,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), RM75,000 lagi kepada Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan RM150,000 kepada Drug Intervention Community (DIC) sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

