Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 05 FEBRUARI 2026 : Pemberian Inisiatif Makmur Kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Kampung Baru) (JKKKB) merupakan penghargaan Kerajaan Negeri Pahang kepada mereka yang menjadi penghubung antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, Belanjawan Negeri Pahang 2026 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM43,400 bagi Pemberian Inisiatif Makmur Pahang kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Kampung Baru) JKKKB di negeri ini.
“JKKKB antara tunjang utama pentadbiran di peringkat akar umbi. Peranan JKKKB bukan sahaja sebagai penghubung antara rakyat dengan Kerajaan Negeri, malah sebagai ejen pelaksana dasar serta pemudah cara dalam menangani isu dan keperluan masyarakat setempat.

“ Dalam menjayakan semua inisiatif ini, peranan JKKKB amat penting. JKKKB menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat kampung, menyampaikan maklumat, mengenal pasti keperluan rakyat, serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar semua JKKKB di negeri ini untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, amanah dan integriti demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

“Jadilah barisan kepimpinan kampung yang proaktif, peka terhadap isu semasa, serta sentiasa bekerjasama erat dengan agensi kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Kampung Baru) (JKKKB) di Bilik Mesyuarat Utama Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) hari ini. -PAHANGMEDIA

