Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 04 FEBRUARI 2026 : Agenda pembangunan pelancongan lestari negeri Pahang terus diperkukuh dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Eksekutif PTNP, Encik Zainal Abidin Othman serta disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Profesor Dr. Yatimah berkata, kerjasama itu akan memfokuskan kepada pembangunan lokasi-lokasi pelancongan strategik di Pahang dengan penekanan kepada aspek kelestarian serta keusahawanan komuniti.
“Sebenarnya ini adalah program yang telah kita mulakan juga sebelum ini, yang mana kita bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Pahang untuk melihat kepada lokasi-lokasi yang kebanyakannya adalah bagi pelancongan.
“…yang mana kita bersama dengan UMPSA dan juga PTNP melihat kepada sustainability (kelestarian) dan juga melihat kepada entrepreneurship (keusahawanan) untuk kita melihat kepada bagaimana kita nak menyatukan komuniti setempat itu untuk menyokong agenda pelancongan Negeri Pahang,” katanya kepada Pahang Media selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, di sini.

Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff.
Profesor Dr. Yatimah juga berkata, kerjasama itu juga melihat kepada bagaimana kepakaran universiti, agensi kerajaan dan penglibatan komuniti dapat digabungkan untuk menyokong agenda pelancongan Negeri Pahang secara lebih tersusun dan mampan.
Tambahnya, UMPSA sememangnya menjadikan program komuniti sebagai modul wajib kepada pelajar, sekali gus membuka ruang penglibatan secara langsung dalam pembangunan masyarakat setempat khususnya di kawasan berpotensi pelancongan.
Beliau turut menyifatkan MoU tersebut sebagai langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem kerjasama strategik yang lebih dinamik antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan negeri demi menjayakan agenda pembangunan negeri yang seimbang dan berdaya tahan.
“Saya percaya bahawa dengan kesinambungan di antara agensi, universiti, pelajar dan juga komuniti, ianya insyaAllah akan menghasilkan satu aktiviti yang bermanfaat, terutamanya bagi komuniti setempat yang terlibat dalam program tersebut,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

