Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 04 FEBRUARI 2026 : Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-69 yang diadakan sehingga Khamis ini telah menghimpun seramai 41 peserta yang terpilih melalui beberapa peringkat saringan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, penyertaan peserta ditawarkan kepada individu yang berminat dalam bacaan dan hafazan Al-Quran, sebelum mereka dipilih melalui proses saringan bagi melayakkan diri ke peringkat negeri.

“Program ini sebenarnya kita bukan buat secara terus malah kita adakan saringan. Kita tawarkan kepada mereka yang berminat untuk menampilkan bacaan dan hafalan, maka akhirnya kita dapat saring seramai 41 peserta.
“Jadi 26 peserta yang akan berhafazan dan selebihnya lagi itu peserta dari tilawah Al-Quran. Mereka ini akan diraikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, malam tadi.

Majlis turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Pahang untuk hadir bagi mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menghayati qari-qari dan penghafal Al-Quran dari Pahang.
“Jadi kita serulah kepada rakyat Pahang datang mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada qari-qari dan penghafal anak Pahang sendiri,” katanya. -PAHANGMEDIA

