Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus membuktikan komitmennya dalam menjaga kebajikan rakyat apabila seramai kira-kira 750 peserta e-Kasih menerima dividen berjumlah hampir RM2,011 setiap seorang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.058 juta menerusi Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong, hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu adalah hasil pengurusan berintegriti dan berkesan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) yang memastikan tiada ketirisan atau kebocoran dalam tadbir urus kewangan.

“PASFA yang dipimpin oleh pengerusi dan pegawainya telah menjalankan tugas yang sangat baik untuk ahli-ahlinya. Kalau tidak, mana mungkin boleh bagi dividen, tidak mungkin boleh bagi kalau tidak diuruskan dengan baik. Tiada kebocoran, tiada ketirisan.
“Seperti mana Kerajaan Negeri juga. Kita tidak akan dapat hasil RM1 bilion untuk empat tahun berturut kalau masalah ketirisan dan masalah kebocoran tidak diuruskan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada Peserta e-Kasih PASFA di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu rakyat dari pelbagai peringkat kehidupan, bermula daripada kelahiran sehinggalah ke akhir hayat, selari dengan prinsip kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang menjadi teras pentadbiran negeri.
“Tuan-tuan boleh tengok sendiri apa yang Kerajaan Negeri Pahang bantu. Kalau Kerajaan Negeri Pahang ini tidak membantu, tidak memberi kesejahteraan kepada rakyat, tidak berkebajikan… sampai masanya, tukar. Sebab itu tujuan demokrasi.
“Tetapi kalau kerajaan hari ini sudah membantu, menyokong, menjaga rakyat, memberi bantuan, minta tanah kita bagi, PASFA kita jaga elok-elok, boleh bagi dividen pada tuan-tuan dan puan-puan, kerajaan hari ini harus kita sama-sama pertahankan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan kejayaan Kerajaan Negeri Pahang memperoleh sijil audit bersih dua tahun berturut-turut juga membuktikan tadbir urus kewangan negeri berada pada landasan yang betul.
“Kalau Kerajaan Negeri kuat, semua bagi sokongan… tidak terpengaruh dengan persepsi, sentimen, isu dan fitnah… tuan dan puan percayalah, lagi banyak faedah yang tuan-puan akan dapat dari PASFA.
“Kalau kita bagi sokongan kepada kerajaan yang memang sentiasa berusaha untuk meningkatkan untuk menjaga rakyat negeri Pahang, hasilnya kita akan perolehi. Kita kena bagi sokongan dan kita pastikan kerajaan pada masa akan datang lagi kuat daripada yang ada pada hari ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

