Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 20 JANUARI 2026 : Kerja-kerja awalan pembaikan cerun susulan kejadian tanah runtuh di Blok C, Apartmen Puncak Arabella, di sini, telah bermula sejak 5 Januari lalu dengan melibatkan kos berjumlah RM2.1 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, kerja pembaikan keseluruhan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan dan disasarkan siap pada Jun ini.

Menurut beliau, ketika ini kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja awalan sebelum proses Site Investigation (SI) dijalankan bagi tujuan integrasi teknikal.
“Sekarang ini kita mulakan kerja awalan dahulu. Esok mula masuk SI. Selepas siap SI, barulah kita akan buat reka bentuk (design).
“Kita jangka tempoh menyiapkan reka bentuk mengambil masa kira-kira sebulan sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan di tapak,” katanya ketika melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan.

Hadir sama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin.
Mengulas mengenai penduduk terjejas, beliau memaklumkan seramai 31 keluarga telah keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Puncak Arabella selepas sebulan ditempatkan di situ dan kini menyewa di luar kawasan perumahan berkenaan.
Katanya, kos sewaan rumah penduduk terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sepanjang tempoh mereka menetap di kediaman sementara.
“Untuk makluman, sepanjang tempoh mereka menyewa, kos akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak Majlis Daerah Cameron Higlands (MDCH) akan berhubung dengan pihak Kerajaan Persekutuan bagi membuat permohonan dan langkah susulan bagi penyelesaian jangka masa panjang.
Terdahulu, media melaporkan satu kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Perumahan Puncak Arabella, Tanah Rata pada malam 28 November 2025, susulan hujan lebat berterusan bermula sekitar jam 8.30 malam.
Kejadian tersebut mengakibatkan 346 rumah terputus hubungan, manakala 28 unit rumah di Blok C dikenal pasti berada dalam keadaan berisiko. -PAHANGMEDIA

