Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 20 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mempelawa syarikat durian Musang King di negeri ini untuk bekerjasama dalam membangunkan industri hiliran.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, ia juga bagi memperkukuhkan lagi eksport Musang King di peringkat antarabangsa.
“Mana-mana syarikat dalam industri durian Negeri Pahang yang berminat untuk kembangkan operasi, mencari bidang tanah, ataupun ingin bekerjasama membuat partnership dengan Kerajaan Negeri Pahang, bolehlah hubungi Invest Pahang ataupun unit pelaburan dalam BPEN. (Badan Perancangan Ekonomi Negeri Pahang).

“Untuk sama-sama kita tinjau, explore, macam mana kita boleh kerjasama dan perkukuhkan lagi industri eksport Musang King ke antarabangsa terutama sekali ke pasaran negara China dan Asia Utara.
“Untungnya Negeri Pahang ini permintaan durian lebih tinggi daripada keupayaan kita untuk membekal durian tersebut, satu potensi yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan kerja bersama InvestPahang di DSR Forest Orchard Cafe, Bukit Tinggi hari ini.
Beliau berkata selain durian, pemain industri juga boleh menceburi industri ternakan madu kelulut sebagai salah satu produk hiliran.
“Mungkin boleh buat durian city sekali, mana tahu kalau kita boleh himpunkan pemain-pemain durian di Negeri Pahang di satu tempat. Fruit center, processing center.
“Lepas tu mereka juga ingin mencuburi industri madu klulut. Madu klulut yang boleh juga dijadikan produk hiliran sebagai madu dalam botol dan lain-lain produk hiliran yang berkaitan.
“Mereka juga boleh pertimbangkan untuk membangunkan kilang yang beroperasi di sekitar stesen ECRL contohnya di stesen Bentong,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pahang dan pihak syarikat ini dapat menjadikan Pahang dikenali dengan produk Musang King dan membuahkan hasil. -PAHANGMEDIA

