Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 08 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri menyokong usaha Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam melonjakkan prestasi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) menerusi pelaksanaan lapan resolusi strategik yang disifatkan sebagai anjakan paradigma pendidikan agama negeri ini.
Resolusi yang dibentangkan adalah hasil dari bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang yang diadakan selama tiga hari di Hotel Marriott, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bengkel berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan SMAN bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah seimbang dari aspek sahsiah dan kerohanian.
“Kita telah menghasilkan lapan resolusi yang saya pun telah mendengar tadi daripada Pengarah JAIP. Sangat baik. Dan saya berharap ianya akan dapat dicapai dan saya sangat yakin.

“Dan ini kita jelas menunjukkan bahawa komitmen Kerajaan Negeri bukan sahaja kita hanya bercakap tapi kita seiringkan dengan usaha kita dan Kerajaan Negeri memberi peruntukan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup bengkel berkenaan, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah JAIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; dan barisan ketua-ketua jabatan.
Antara sasaran utama yang digariskan dalam resolusi berkenaan ialah 100 peratus SMAN berada dalam kelompok 30 terbaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Pahang menjelang tahun 2031, selain 100 peratus pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, termasuk 10 peratus ke luar negara.

Resolusi lain turut menetapkan 95 peratus tahap penguasaan Bahasa Arab melalui International Benchmarking Test (IBT) dengan sasaran 100 peratus pelajar mencapai sekurang-kurangnya Band 3, selain pelaksanaan kurikulum teras seragam dan berfokus mengikut kluster atau aliran di semua SMAN.
Selain itu, Program Turath@SMAN akan diakreditasi oleh Pusat Khazanah Ilmu Turath (U-KIT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala 80 peratus murid disasarkan menamatkan hafazan minimum 10 juzuk ketika tamat Tingkatan 5 dan memperoleh Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Resolusi berkenaan turut memberi penekanan kepada pembentukan pelajar seimbang melalui pencapaian cemerlang elemen JERSI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Sahsiah dan Intelek, bagi melahirkan generasi Rabbani.

“Ini satu usaha yang sangat baiklah. Jadi saya percaya ianya akan dapat dicapai kerana komitmen daripada mereka yang hadir pada hari ini begitu tinggi dan kita di Pahang ni telah pun berada di landasan yang baik.
“Dan kita ada contoh Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang sentiasa berada di ‘top five’ dari segi pelajaran SPM.
“Dan saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Pahang, Yayasan Pahang kepada semua peserta yang hadir pada hari ini,” ujarnya.
Seramai 70 peserta terlibat dalam bengkel berkenaan di mana majlis penutupan bengkel itu turut menyaksikan penyampaian Dokumen Resolusi kepada Menteri Besar Pahang oleh Pengarah JAIP serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). -PAHANGMEDIA

