Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 JANUARI 2026 : Kontinjen Negeri Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan Karnival Majlis Sukan dan Kebudayaan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Kali Ke-50 yang diadakan di negeri ini selaku tuan rumah tahun ini.
Seramai 3,136 peserta daripada 17 kontinjen terdiri dari Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara terlibat dalam penganjuran karnival berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan cemerlang menganjurkan karnival yang berlangsung selama lima hari bermula 3 Januari hingga 7 Januari itu walaupun berdepan cabaran cuaca.

Katanya, penganjuran kali ini amat bermakna kerana merupakan edisi ke-50 sekali gus melambangkan kematangan, kesatuan serta semangat jitu warga Perkhidmatan Pendidikan Malaysia dalam memartabatkan sukan dan kebudayaan.
“Sebanyak 11 acara sukan dan kebudayaan telah dipertandingkan dan kesemuanya berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan serta ukhuwah antara warga pendidik dari seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penutupan karnival berprestij sempena Jubli Emas MSKPPM selaku wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia merangkap Yang Dipertua MSKPPM, Dr. Mohd. Azam Ahmad, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Mansur serta barisan pengarah jabatan pendidikan seluruh negara.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memartabatkan sukan sebagai wahana pembinaan modal insan khususnya dalam kalangan warga pendidik dan penjawat awam.
“Dan YAB. Menteri Besar Pahang telah pun bersetuju untuk menaja sebahagian daripada kos penganjuran. Saya difahamkan tadi oleh kerana 50 tahun, jadi YAB. Dato’ Sri Diraja bersetuju bagi RM50,000,” ujarnya.
Tambahnya lagi, karnival seumpama iti bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah membantu membangunkan minda yang cerdas dalam usaha melahirkan pendidik berkualiti demi kecemerlangan anak bangsa. -PAHANGMEDIA

