Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 12 JANUARI 2026 : Kerajaan Pahang terus mendahului apabila menjadi antara negeri yang terawal menyalurkan bantuan awal persekolahan menerusi Program Tunas Makmur.
Hari ini, seramai 68,000 pelajar terdiri dari pelajar Tahun 1 dan pelajar miskin tegar Tahun 2 hingga Tingkatan 5 menerima sumbangan kit persekolahan berupa alat tulis dan peralatan sekolah bernilai RM100 secara percuma.

Selain itu, pelajar ini juga akan menerima baucar pakaian sekolah bernilai RM100, yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading. Kedua-dua bantuan ini melibatkan siling peruntukan keseluruhan berjumlah RM14.8 juta.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen berterusan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan dan keperluan pendidikan anak-anak Pahang sentiasa terbela.
“Yang saya tahu macam itulah… Negeri Pahang yang pertama semenjak tahun 2022 lagi. Kita tidak pernah berhenti untuk memberi penambahbaikan ini tetapi tertakluk kepada kedudukan kewanganlah. Macam hari ini pun melibatkan kedudukan kewangan RM14.8 juta siling peruntukan, siling yang kita khaskan untuk program ini saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Kit Tunas Makmur kepada 130 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bentong, di sini hari ini.
Majlis turut dihadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen; serta barisan ketua-ketua jabatan.
Tambahnya, kedudukan kewangan negeri yang stabil membolehkan Kerajaan Negeri membuat penambahbaikan dengan memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100 kepada pelajar yang layak.
“Di samping itu, kita juga menyediakan kad diskaun bernilai di mana kita boleh 30 peratus diskaun boleh didapati di mana-mana kedai MBS Book Store di seluruh Pahang,” ujarnya.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik di negeri ini atas komitmen dan pengorbanan dalam memastikan kualiti pendidikan terus berada pada tahap membanggakan.
“…Yang saya tahu pendidikan di negeri Pahang ni berada di paras yang agak tinggi berbanding dengan tempat-tempat lain. Sebagai contohnya kalau Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), kita sentiasa berada di ‘top five’,”katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pelajar Tahun 1 yang memulakan sesi persekolahan mereka hari ini agar mematuhi nasihat guru serta menyesuaikan diri dengan baik di alam persekolahan yang baharu.
“Dengar cakap cikgu. Tinggal apa yang dicegah. Buat apa yang disuruh,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

