Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 12 DISEMBER 2026 : Kerajaan Negeri meneruskan Program Tunas Makmur bagi tahun ini dengan penambahbaikan iaitu pemberian baucar pakaian bernilai RM100 kepada pelajar yang layak.
Seramai 68,000 pelajar dijangka menerima manfaat program ini, melibatkan semua pelajar Tahun 1 serta pelajar miskin tegar dari Tahun 2 hingga Tingkatan 5.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia selaras dengan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh.
Katanya, selain bantuan sedia ada, penambahbaikan tersebut diperkenalkan bagi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Tahun ini kita ada penambahbaikan iaitu baucar pakaian bernilai RM100. Selain daripada yang sebelum ini, tahun ini kita buat penambahbaikan sebab kedudukan ekonomi negeri kita yang baik. Jadi kita tambah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke sesi penyampaian Kit Tunas Makmur kepada 130 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bentong, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen serta ketua-ketua jabatan negeri.
Baucar pakaian sekolah bernilai RM100 ini boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading. – PAHANGMEDIA

