Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 19 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju untuk meneruskan pemberian remisyen kadar cukai tanah bagi tahun 2026 dan 2027.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu sejak tahun 2020 hingga tahun ini.
“Keputusan ini sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban kewangan pemilik tanah,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu juga adalah bagi memastikan tanggungjawab pembayaran cukai tanah dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus mengimbangi keperluan rakyat dengan tadbir urus kewangan yang berhemah,” ujarnya.
Katanya lagi, ia juga selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras utama pembangunan negeri. -PAHANGMEDIA

