Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Seorang warden penjara ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya yang dilanda banjir di Taman Seri Inderapura, di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin, 26, yang bertugas di Penjara Penor, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi daripada bapa mangsa.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Kuantan telah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Taman Seri Inderapura dan mendapati mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi apabila mangsa yang berada di PPS telah pulang ke rumahnya seorang diri untuk melihat keadaan rumah yang dinaiki air banjir setinggi kira-kira satu kaki.
Bagaimanapun, mangsa tidak kembali semula ke PPS dan gagal dihubungi.
“Pada kira-kira pukul 10 pagi, bapa mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu rumah,” katanya.
Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke PPS oleh bapanya dengan bantuan orang awam menggunakan kenderaan sendiri sebelum pihak polis mengambil tindakan lanjut.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira pukul 12 tengah hari bagi tujuan bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan laporan bedah siasat. -PAHANGMEDIA

