Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Jerantut menjadi daerah kelima terjejas banjir di negeri ini setakat ini dengan jumlah keseluruhan mangsa terlibat adalah seramai 8,722 orang.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, manakala tiga lagi daerah iaitu Kuantan, Maran, dan Pekan turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa terjejas.
“Di Kuantan, seramai 7,050 mangsa terjejas banjir direkodkan daripada 2,342 keluarga ditempatkan di 42 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Di Maran, mangsa terjejas direkodkan seramai 776 orang daripada 223 keluarga ditempatkan di 15 PPS, dan di Pekan, 543 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS. Di Jerantut, seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke tiga PPS.
“Manakala di Rompin menunjukkan penurunan jumlah mangsa setakat ini dengan 337 mangsa daripada 97 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS,” katanya.
Sementara itu laporan turut merekokan peningkatan kepada sebelas sungai di negeri ini berada di paras bahaya dan sepuluh sungai lagi berada pada paras amaran manakala bakinya berada pada paras waspada.
“Sembilan sungai berada pada paras bahaya ialah Empangan Chereh, Kuantan; Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan; Kampung Sungai Puteri, Rompin; Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan; Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut; Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.
“Manakala yang berada di paras amaran adalah Sungai Kuantan di Kuantan By Pass di Kuantan; Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan; Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Kuantan; Sungai Dong di Jambatan Sungai Dong, Raub; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Pahang di Waterfront, Bera; Sungai Serting di Jambatan Pasir Gudang, Bera; Sungai Jempol di Jengka 5, Maran; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; dan Sungai Pukin, Rompin,” katanya. -PAHANGMEDIA

