Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : JKR Daerah Kuantan
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Mangsa terjejas banjir di negeri ini meningkat kepada 8,104 orang setakat 8 pagi ini dengan Kuantan mencatatkan mangsa tertinggi seramai 6,499 orang.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, manakala tiga lagi daerah iaitu Maran, Rompin, dan Pekan turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa terjejas.
“Di Kuantan, kesemua mangsa terjejas daripada 2,134 keluarga ditempatkan di 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Di Maran, mangsa terjejas direkodkan seramai 770 orang daripada 222 keluarga ditempatkan di 15 PPS, manakala di Rompin seramai 502 mangsa daripada 151 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS. Di Pekan, 333 mangsa daripada 96 keluarga dipindahkan ke enam PPS,” katanya.
Sementara itu laporan turut merekokan sembilan sungai di negeri ini berada di paras bahaya dan sembilan sungai lagi berada pada paras amaran manakala bakinya berada pada paras waspada.
“Sembilan sungai berada pada paras bahaya ialah Empangan Chereh, Kuantan; Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan; Kampung Sungai Puteri, Rompin; Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan; Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan; dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan.
“Manakala yang berada di paras amaran adalah Sungai Kuantan di Kuantan By Pass di Kuantan; Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan; Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Kuantan; Sungai Dong di Jambatan Sungai Dong, Raub; Sungai Pahang di Waterfront, Bera; Sungai Serting di Jambatan Pasir Gudang, Bera; Sungai Jempol di Jengka 5, Maran; Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan; dan Sungai Pukin, Rompin,” katanya. -PAHANGMEDIA

