Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 DISEMBER 2025 : Sebanyak 350 unit rumah Projek Rumah Residensi Rakyat (PRR) Lanchang, di sini dijangka akan siap pada Julai tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan berjalan dengan baik setakat ini.
“Alhamdulillah berjalan dengan baik, cuma terkebelakang sedikit 3 peratus tapi bukanlah isu besar ya.

“Dan insya Allah akan siap pada bulan tujuh (Julai). Saya dimaklumkan oleh pihak pemaju macam itulah. Bulan tujuh tahun depan, 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan yang terletak di Kampung Bongsu, Lanchang, di sini bersempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Temerloh, hari ini.
Lawatan berkenaan turut disertai YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli dan barisan pimpinan setempat.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meminta pihak KPKT menukar konsep asal rumah daripada sewaan kepada pemilikan.
“Jadi ini saya rasa boleh dalam masa yang sama kita membantu mereka yang tak ada rumah, boleh dapat rumah. Dia sewa lepas itu dia akhirnya akan menjadi milik dia.
“Dan setakat ini semua berjalan dengan baik dan Kerajaan Negeri akan bagi kerjasama yang sepenuhlah supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya lagi.
Tambahnya, rumah teres satu tingkat dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air itu akan diberikan keutamaan kepada penduduk Lanchang dan sekitarnya.
Difahamkan, projek pembinaan rumah berkenaan menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pada asalnya menelan kos sekitar RM230,000 seunit, namun dijual pada harga RM45,000 seunit.-PAHANGMEDIA

