Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 DISEMBER 2025 : Penduduk terjejas banjir di negeri ini meningkat kepada 3,575 orang kekal melibatkan empat daerah setakat 4 petang ini.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, daerah tertinggi merekodkan pemindahan mangsa adalah di Kuantan dengan 2,694 mangsa daripada 848 keluarga di 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“PPS terlibat bagi daerah Kuantan adalah SK Mat Kilau (424 orang), Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail (267), SK Fakeh Abdul Samad (295), SAR KAFA Jaya Gading (243), Dewan Komuniti KRT Indera Sempurna (319).
“Wisma Belia (191), Dewan Serbaguna Jaya Gading (189), Dewan Orang Ramai Kampung Seri Mahkota (205), SK Wira (176), SK Jaya Gading (150), SK Bunut Rendang (157), Dewan Orang Ramai Taman Seri Mahkota (77), dan Balairaya Kampung Sungai Soi (22),” katanya.
Sementara itu Maran mencatatkan penduduk dipindahkan seramai 392 orang dari 136 keluarga melibatkan sembilan buah PPS, di Rompin seramai 293 mangsa dari 85 keluarga dipindahkan ke enam PPS dan 196 mangsa di Pekan melibatkan 54 keluarga dipindahkan di dua PPS.
“Di Maran, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Baru Sungai Chendong (104), Dewan Arena YAM Tengku Muda Maran (78), Pusat Pemindahan Tetap Luit (90), Pusat Pemindahan Kampung Ulu Luit (72), Surau Taman Sri Chendung (33), PPS Surau Sungai Kertam (4), Surau Bukit Kuin (6), dan Bengkel Wanita Kampung Bak bak (5).
“Di Rompin, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam (160), SK Pianggu (103), SK Sarang Tiong (17), Balairaya Kampung Jawa (7), dan SK Pontian (6) dan di Pekan, mangsa di tempatkan di SK Sinar Mutiara Sungai Miang (196),” katanya.
Terdapat enam sungai di negeri ini direkodkan berada di paras bahaya dan empat lagi berada pada paras amaran manakala bakinya berada pada paras waspada.
“Enam sungai berada pada paras bahaya ialah Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan; Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan; Sungai Kenau di Bukit Kuantan, Kuantan; Kampung Sungai Puteri, Rompin; Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan; dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan.
“Manakala yang berada di paras amaran adalah Empangan Chereh, Kuantan; Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan; Sungai Pahang di Waterfront, Bera; dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan,” katanya. -PAHANGMEDIA

