Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 DISEMBER 2025 : YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin menegaskan bahawa semua urusan berkaitan usul dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) serta pelaksanaan embargo terhadap dokumen persidangan Dewan Negeri Pahang dilaksanakan sepenuhnya mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, dakwaan kononnya terdapat usul yang tidak dimasukkan atau tidak diagendakan dalam AUM sebagaimana yang tular dalam satu rakaman video dalam aplikasi sosial TikTok pada 12 Disember lalu adalah tidak benar.
Menurutnya, dua usul yang dibangkitkan iaitu Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pemulihan bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 serta Usul Siling Peruntukan Negeri bagi Projek Rancangan Negeri Pahang 2026-2030 (RNP 2026-2030) telah dimasukkan secara rasmi dalam AUM Mesyuarat Ke-3, Penggal Ke-4, Dewan Negeri Pahang Ke-15.
“AUM tersebut telah diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat seminggu sebelum persidangan bermula bersama fail persidangan yang mengandungi Rang Undang-Undang (RUU) serta Kertas-kertas Mesyuarat yang berkaitan.
“Saya mengambil maklum bahawa YB Ahli Dewan Negeri Pahang Kawasan Cheka telah membangkitkan isu ketiadaan dokumen perincian usul untuk tujuan penelitian dan perbahasan.
“Untuk penjelasan, amalan tidak mengedarkan dokumen perincian usul kepada Ahli Dewan telah lama dipraktikkan, dan ia selaras dengan amalan di beberapa Dewan Undangan Negeri lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pelaksanaan embargo terhadap dokumen-dokumen persidangan adalah selaras sepenuhnya dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri Pahang.
Katanya, Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri Pahang Perkara 19(4) memperuntukkan bahawa semua Kertas Mesyuarat, Rang Undang-Undang dan Risalah Mesyuarat boleh diembargo sehingga tarikh yang dinyatakan, dan mana-mana pihak yang mengeluarkannya sebelum tarikh tersebut boleh disifatkan telah melakukan perbuatan menghina Majlis.
“Secara amnya, semua Kertas Mesyuarat, Rang Undang-Undang dan Risalah Mesyuarat adalah diembargo sehingga hari ia dibentangkan. Dalam kes ini, dokumen-dokumen berkaitan telah diembargo sehingga 12 Disember 2025 (Jumaat), selaras dengan tarikh pembentangan yang dinyatakan dalam AUM,” katanya lag.
Tambahnya, tujuan embargo ini adalah bagi mengelakkan sebarang maklumat digunakan atau dipetik sebelum pembentangan rasmi, serta memastikan tertib persidangan dipelihara.
“Untuk makluman, Kertas-kertas Mesyuarat yang disenaraikan di bawah Urusan-Urusan Am dalam AUM adalah bagi tujuan pembentangan sahaja dan bukan untuk dibahaskan, kecuali sekiranya satu usul khusus dikemukakan dan diluluskan oleh Dewan.
“Bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) khususnya, Perkara 107(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa laporan tersebut hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Undangan Negeri.
“Laporan berkenaan hanya boleh dibahaskan sekiranya suatu usul khas dikemukakan, disokong dan diluluskan dalam Dewan. Sepanjang tempoh persidangan berlangsung, tiada sebarang usul dikemukakan untuk membahaskan laporan atau penyata kewangan yang dibentangkan,” jelasnya.
Beliau justeru itu menegaskan bahawa semua urusan mesyuarat Dewan Negeri Pahang dilaksanakan berlandaskan peraturan, prinsip tadbir urus yang teratur, telus serta berperlembagaan. -PAHANGMEDIA

