Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 DISEMBER 2025 : Seramai 223 mangsa dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini susulan hujan lebat berterusan dan limpahan air sungai sejak awal pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, kejadian banjir yang bermula sekitar jam 7 pagi itu melibatkan beberapa kampung iaitu Kampung Jaya Gading, Kampung Seri Mahkota, Kampung Seri Damai dan Kampung Panching.
Difahamkan, setakat jam 1 tengah hari, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir dan jumlah mangsa dijangka meningkat kerana proses pendaftaran masih dijalankan.
Enam PPS berkenaan ialah Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading, DOR Kampung Seri Mahkota, DOR Kampung Seri Damai, Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad, Sekolah Kebangsaan Wira dan Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, melibatkan keseluruhan 223 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat ini.
Selain itu turut dimaklumkan bahawa anggota APM Kuantan telah digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu operasi pemindahan serta pendaftaran mangsa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Difahamkan juga setakat ini tiada fasiliti awam dilaporkan terjejas, namun keadaan cuaca masih hujan dan pemantauan berterusan sedang dijalankan. -PAHANGMEDIA

