Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri menyenaraikan lebih 50 acara pelancongan bagi kalendar 2026 sebagai usaha meningkatkan jumlah pelancong yang hadir ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, kesemua acara itu merangkumi peringkat domestik, kebangsaan dan antarabangsa di mana jumlah tersebut akan terus ditambah dari semasa ke semasa.
Katanya, fokus utama adalah untuk menggalakkan pelawat yang datang ke Pahang, termasuk lawatan harian untuk bermalam serta melanjutkan tempoh penginapan mereka.
“Sesiapa yang melancong ke Pahang, mungkin bermalam satu malam, kita nak menggalakkan mereka bermalam lebih banyak hari,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB Tuan Su Keong Siong, pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada latihan dan peningkatan sumber manusia dalam sektor pelancongan, termasuk kursus pemandu pelancongan alam semula jadi, pengurusan pelancongan serta program peningkatan kemahiran untuk pengusaha tempatan.
Dari aspek infrastruktur, katanya, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bajet setiap tahun bagi menaik taraf kemudahan pelancongan.
“Kita bersyukur juga tahun ini selain daripada bajet Kerajaan Negeri Pahang, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) juga turut menyokong Negeri Pahang iaitu menyalurkan lebih RM9.9 juta untuk infrastruktur pelancongan dan ini merekodkan angka yang paling tinggi untuk tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, usaha promosi juga akan dipergiat melalui penyertaan dalam pelbagai ekspo, penganjuran siri jelajah (road show) ke lokasi berpotensi tinggi serta kerjasama erat dengan Tourism Malaysia dan Tourism Pahang.
“Kita akan lebih banyak engagement dengan pemain industri dan juga mengadakan fam trip (familiarisation trip), promosi digital dan juga kita menggalakkan supaya pemain industri dalam Pahang untuk memohon dana yang disediakan sebagai contoh GSSP (Geran Sokongan Sektor Pelancongan), GAMELAN (Geran Galakkan Melancong Malaysia) dan lain-lain,” ujarnya lagi.
Beliau dalam pada itu berharap dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, Pahang yakin dapat muncul sebagai destinasi utama sempena Tahun Melawat Malaysia. -PAHANGMEDIA

