Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Program pengurangan kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membuahkan hasil apabila bilangan miskin tegar di negeri ini dilihat telah menurun dengan ketara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, berkata ia diukur berdasarkan kepada kejayaan bantuan yang dihulurkan Kerajaan Negeri kepada penerima.
“Contoh yang lebih mudah, kita ada memberi bantuan kepada wanita B40 contohnya di Raub di mana beliau mengusahakan perniagaan sejuk beku. Di mana dengan adanya bantuan daripada kita, kita memberikan beliau mesin pengadun.
“Sebelum ini kalau pasarannya hanya di sekitar kampung, dan dengan adanya bantuan tersebut, beliau dapat memasarkan ke seluruh negeri Pahang dan sekali sekala ada mendapat tempahan makanan sejuk beku dari luar negeri.
“Itu adalah antara indikator yang kita ukur untuk melihat kejayaan bantuan yang kita berikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB Tuan Ayub Mat Ashri dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, antara program yang dilaksanakan bagi mengurakan kadar miskin dan miskin tegar adalah melalui pelaksanaan program bantuan sosial dan kebajikan.
“Kerajaan Negeri memperkasakan penyelarasan bantuan melalui Focus Group Kesejahteraan Rakyat untuk mengenalpasti keluarga miskin atau pun miskin tegar agar bantuan yang disalurkan dapat disalurkan dengan lebih tepat di mana tidak bertindih dengan bantuan-bantun yang diterima oleh rakyat,” ujarnya.
Selain itu katanya, turut dilaksanakan program perumahan untuk golongan miskin dan juga miskin tegar melalui pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), membantu membina rumah baharu atau membaikpulih kediaman bagi mereka yang memerlukan supaya golongan miskin dapat kediaman yang selesa dan juga selamat.
“Seterusnya program keusahawanan mikro dan bantuan permulaan perniagaan. Misalnya skim pembiayaan mikro seperti i-Push yang memberi peluang kepada golongan miskin untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Dan juga fokus kepada pendidikan dan sokongan pelajar kurang bernasib baik termasuk bantuan kepada pelajar dari keluarga B40 atau masyarakat Orang Asli. Pendidikan dianggap kunci supaya anak generasi seterusnya dapat keluar dari kitaran kemiskinan ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

