Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang & Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 9 DISEMBER 2025 : Daerah Kuantan mencatatkan sebanyak 369 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor pertanian, menyumbang 2.5 peratus daripada jumlah nasional sekali gus menunjukkan peningkatan terbaik di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, angka tersebut diperoleh berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Profil PKMS tahun 2024.
“Dan saya nak ucapkan tahniah kepada Daerah Kuantan yang merekodkan 369 PMKS pertanian iaitu menyumbang 2.5 peratus daripada jumlah kerajaan ataupun jumlah nasional. Inilah satu peningkatan yang terbaik di Daerah Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan Arumugam A/L Veerappa Pillai dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini Negeri Pahang mempunyai 38,577 PMKS, bersamaan 36 peratus daripada keseluruhan 108 juta PMKS yang berdaftar di seluruh negara sekali gus menjadikan Pahang antara negeri yang memiliki ekosistem PMKS berkembang secara progresif.
“Dari segi pemilihan sektor perniagaan pula, PMKS di Negeri Pahang tertumpu kepada beberapa kelas utama yang mencerminkan kekuatan teras ekonomi negeri antaranya sektor perkhidmatan memberikan jumlah kurang 85.6 peratus iaitu sektor ini merupakan pilihan utama PMKS.
“Antara aktiviti utama termasuklah perdagangan borong dan juga runcit, makanan dan juga minuman, perkhidmatan dobi, bengkel-bengkel dan juga penyelenggaraan, logistik dan juga perkhidmatan komoditi, agensi pelancongan serta hospitaliti,” ujarnya.
Selain itu katanya, sektor pembinaan, pembuatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi negeri.
YB Dato’ Amizar dalam pada itu turut menekankan bahawa kejayaan PMKS Pahang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri, malah turut memperkukuh peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan industri di peringkat nasional.-PAHANGMEDIA

