Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 30 JANUARI 2026 : Kerajaan Pahang menyediakan bantuan bagi memperbaiki laluan di Pos Sinderut buat sementara waktu untuk memudahkan akses penduduk setempat.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, beliau telah meminta bantuan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis bagi penyediaan peralatan.
“InsyaAllah, kerja-kerja awalan (pembinaan jalan baharu) akan dibuat pada tahun ini dan dijangka siap pada awal tahun 2029. Semoga ianya dapat berjalan dengan lancar.

“Dan dalam pada itu, oleh sebab keadaan jalan di sini agak teruk juga, terutamanya musim hujan, Tok Wan telah meminta kerjasama daripada Pejabat Daerah, JKR, supaya menyediakan peralatan untuk membantu. Sekiranya ada kesesakan jalan disebabkan oleh hujan atau pun jalannya berlopak-lopak, lubang yang menyebabkan kereta tidak boleh lalu dan ini merencatkan pergerakan penduduk di Pos Sinderut ke Koyan terutamanya, ataupun untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
“Jadi, Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Penduduk-penduduk nampaknya berpuas hati walaupun jalan masih belum siap. Jadi, kita harap ianya dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Pos Sinderut selama dua hari bermula semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima daripada masyarakat Orang Asli sepanjang program dan majlis ramah mesra yang dijalankan.
“Sambutan macam biasa, bila setiap kali saya datang, beginilah keadaannya, penuh. Dan kepada masyarakat Orang Asli, teruslah bersama dengan kerajaan.
“Kerana kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan mereka dan pastinya akan berusaha yang terbaik untuk memajukan perkampungan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Beliau sebelum itu telah menyampaikan sumbangan peralatan alat tulis kepada pelajar Tahun 6 di SK Sinderut sebelum bersama-sama masyarakat Orang Asli dalam Sukan Rakyat di padang SK Sinderut. -PAHANGMEDIA

