Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memastikan institusi kekeluargaan di negeri ini terpelihara selain dapat menangani isu penceraian dalam kalangan masyarakat negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam (JAIP) mengadakan kursus perkahwinan kepada bakal pengantin sebagai usaha untuk memastikan mereka memahami tanggungjawab berkaitan rumah tangga.
“Sebelum mereka berkahwin, kita di Jabatan Agama Islam Pahang mengadakan kursus-kursus kepada bakal suami dan bakal isteri ini supaya mereka memahami tanggungjawab mereka pada rumah tangga mereka.
“Benda ini kita sampaikan, cuma maklumlah bukan senang untuk kita memberi keyakinan kepada bakal pengantin ini kerana waktu dia mohon kahwin itu, mereka mengikuti kursus hanya sebahagian kecil untuk mendapatkan kebenaran dan dia tidak fokus kepada tarbiah disampaikan dan itulah kesannya.
“Kita berdoa dan berusaha untuk mereka ini sentiasa dididik dan ditarbiah supaya menjaga hubungan kekeluargaan kerana tidak wajar setelah mereka membina rumah tangga tetapi disudahi dengan penceraian,” katanya.
Beliau berkata punca penceraian direkodkan di negeri ini berlaku akibat ketidakserasian pasangan selain masalah ekonomi pasangan.
“Penceraian berlaku melibatkan pasangan berumur sekitar 30 (tahun) ke 40 tahun yang kita tengok angkanya dan punca (penceraian) adalah banyak dan tidak sama. Si Fulan bercerai kerana tidak sesuai, pasangan lain pula kerana masalah ekonomi berbeza di antara satu sama lain.
“Bagi tahun 2020, jumlah rakyat Pahang yang telah memohon untuk berkahwin dan telah berdaftar perkahwinan mereka seramai 11, 585 manakala yang memohon penceraian ialah 2,947 orang.
“Pada tahun 2021 (perkahwinan 12,163; perceraian 2,947), 2022 (perkahwinan 13,811; perceraian 3,513), 2023 (perkahwinan 11, 672; perceraian 3,135), 2024 (perkahwinan 10,329; perceraian 3,484), dan 2025 setakat ini (perkahwinan 8,611; perceraian 2,670),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Majlis Agama Islam melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang sentiasa sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Majlis Agama Islam Pahang ada (memberi) bantuan-bantuan juga melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang) yang kita beri seandainya mereka perlukan dan mereka memohon.
“Dan seandainya mereka layak, tidak pernah dari mana-mana sumber yang ada oleh Kerajaan Negeri kita terlewat membantu orang yang susah ini, tidak kiralah kerana bercerai, suami tidak bertanggungjawab, kita usaha sedaya mungkin membantu mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

