Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Projek pembinaan jalan alternatif dari Kampung Som ke Kampung Berau di Jerantut mencatat kemajuan fizikal sebanyak 28.23 peratus setakat 30 November lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, urusan pengambilan balik tanah telah selesai dibayar bagi 45 lot yang terlibat pada tahun lepas manakala enam lot tambahan kini dalam tindakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Objektif pembinaan jalan Kampung Som ke Kampung Berau, Jerantut adalah sebagai jalan perhubungan baharu, pengeluaran hasil pertanian penduduk disamping meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.
“Jumlah penduduk yang terkesan adalah sebanyak 71 pemilik berdasarkan pemilik tanah berdaftar dalam geran. Urusan pengambilan balik tanah telah selesai dibayar bagi 45 lot yang terlibat pada tahun 2024 dengan jumlah pampasan sebanyak RM3,914,269.45.
“Manakala terdapat enam lot tambahan baharu yang masih di dalam tindakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan status terkini, lot terlibat telah selesai lawatan tapak serta penandaan pada 13 November 2025 dan masih menunggu tarikh bicara oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG),” katanya.
Beliau berkata buat masa kini Kerajaan Negeri Pahang tidak memiliki perancangan untuk membuat penyambungan dari laluan berkenaan ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Tiada rancangan penyambungan Jalan Kampung Som dan Berau ke LPT pada masa ini memandangkan sistem jalan raya sedia ada boleh diakses terus ke Lebuhraya Pantai Timur melalui laluan FT064,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

