Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Menghampiri detik persaraan, Ketua Pembantu Tadbir, Puan Nor Asiah Mohd Rafizi, 56, menyifatkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji amat bermakna terutamanya ketika menjelang fasa akhir kerjayanya.
Puan Nor Asiah yang bertugas di Pejabat SUK Pahang berkata, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan pelbagai keperluan, malah menjadi pengiktirafan kepada setiap usaha dan pengorbanan penjawat awam yang telah sekian lama mencurahkan khidmat kepada rakyat dan negeri.

“Alhamdulillah, rasa gembira sangat kita semua dapat bonus dua bulan dan sangat membantu, banyak kegunaan dan keperluan dan Alhamdulillah syukur.
“Saya pasti dan yakin dengan adanya pemberian bonus ini, pasti akan dapat meningkatkan lagi kualiti kita sebagai penjawat awam. Semoga Pahang dibawah pentadbiran ini akan terus maju jaya,” katanya ketika ditemui di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Sementara itu, Encik Asmawi Nazri, 27, yang merupakan Penolong Pegawai Tadbir di Akademi Pahang 1st turut melahirkan komitmen untuk bekerja lebih gigih bagi memastikan Kerajaan Negeri Pahang lebih maju pada masa hadapan.

“Terima kasih Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail diatas pengumuman bajet sebentar tadi. Penjawat awam Negeri Pahang mendapat bonus dua bulan gaji.
“Jadi pengumuman tadi memberi suntikan semangat motivasi kepada penjawat awam seluruh Negeri Pahang. Kami akan bekerja dengan lebih semangat dan sekali gus menyumbang kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Bagi Penolong Pegawai Tadbir Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Puan Madianatul Arafah Ahmad Rosdi, 45, bantuan khas ini amat membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan persekolahan dan perayaan akan tiba.

“Saya sebagai wakil dari penjawat awam ingin mengucapkan terima kasih kepada Tokwan (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) dan pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang dan dengan bonus yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sedikit sebanyak dapat membantu penjawat awam dalam membuat persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah, persiapan bulan Ramadan dan Hari Raya.
“Kami menyambut baik bonus yang diberikan oleh Tokwan sebentar tadi dan kami penjawat awam di Kerajaan Negeri Pahang merasakan insentif yang diberikan ini adalah sebagai satu lonjakan (semangat) kepada kami untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau turut mengumumkan pemberian Pemberian Insentif Khas Pahang 1st sebanyak RM200 kepada kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000. -PAHANGMEDIA

