Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM5.5 juta bagi memastikan anak Pahang memiliki kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, teras ketiga Belanjawan Negeri Pahang 2026 iaitu Meningkatkan Taraf Pendidikan dan TVET merupakan tunjang kemajuan kepada masyarakat yang ingin melonjak ke tahap yang lebih tinggi.
“Bagi memastikan anak Pahang memiliki kemahiran TVET, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada Pahang Skills untuk menyediakan infrastruktur, penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan latihan.
“Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan kepada Pahang Skills bagi program padanan industri melalui TVET Pahang Talent Development bertujuan memastikan graduan dan pekerja yang tiada sijil kemahiran dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka sekaligus mengisi peluang pekerjaan berkualiti.
“Selaras dengan perkembangan sektor pengangkutan rel di Malaysia, Kerajaan Negeri menyediakan RM1 juta geran padanan kepada Yayasan Pahang untuk Akademi Rel Pahang UCYP University dengan kos keseluruhan sebanyak RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata industri masa depan menuntut kemahiran teknikal yang tinggi khususnya dalam bidang TVET sebaliknya menjadi keutamaan pihak industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan lebih relevan selari dengan permintaan pasaran kerja moden.
“Sesebuah negeri boleh membina bangunan yang megah, jalan raya yang luas dan projek yang gah, namun tanpa rakyat yang berpengetahuan, celik teknologi, berkemahiran dan berdaya saing, pembangunan itu tidak akan mampu dipertahankan dalam jangka masa panjang.
“Modal insan yang berkualiti bukan sekadar lambang kebijaksanaan sesebuah kerajaan, tetapi merupakan jaminan utama untuk masa depan Negeri Pahang.
“Inisiatif ini memberi anak-anak Pahang peluang memasuki industri rel dengan latihan soft skills terutamanya dalam menyediakan pasaran kerja apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangkakan akan beroperasi pada Januari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

