Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperkasaan tiga sektor utama iaitu penternakan, pertanian dan perikanan melalui pembangunan teknologi moden dengan peruntukan sebanyak RM68.63 juta tahun hadapan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini bagi memastikan agenda keterjaminan makanan di negeri ini terus diperkukuh secara strategik dan bersepadu.
“Bagi merancakkan sektor penternakan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM24.7 juta merangkumi RM23.55 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang bagi pengurusan dan pembangunan; RM650,000 bagi Projek Peningkatan Genetik Ternakan dan peluasan Projek Wagyu Pahang; dan RM500,000 melalui Skim Makmur Ternak untuk membantu penternak kecil dan sederhana meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Bagi sektor pertanian pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM42.63 juta merangkumi RM40.63 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Pahang bagi pengurusan dan pembangunan; dan RM 2 juta untuk menganjurkan Program MAHA Pahang sebagai platform pemerkasaan agroekonomi dan agropelancongan.
“Bagi sektor perikanan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.3 juta yang merangkumi RM600,000 bagi Program Pembangunan Kualiti Perikanan Darat, Konservasi Baka Ikan Asli dan Pengembangan Akuakultur di bawah Rancangan Perikanan Negeri Pahang; RM250,000 bagi Kempen Penghapusan Ikan Asing termasuk mengekang ancaman ikan baung ekor merah dan bukannya untuk dikomersialkan; RM250,000 bagi Program Pelepasan Benih Ikan Asli ke perairan umum seluruh negeri; dan RM200,000 bagi menganjurkan Karnival Nelayan Darat 2026 untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap konservasi dan industri perikanan air tawar,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang juga turut memperuntukan RM8.3 juta bagi program keusahawanan yang merupakan pemacu penting pembangunan ekonomi rakyat negeri ini.
“Untuk itu, Program Usahawan Makmur diteruskan pada tahun 2026 dengan peruntukan RM5 juta bagi membantu usahawan menembusi pasaran baharu, meningkatkan jualan serta memperkukuh daya saing produk tempatan.
“Bagi membantu penjaja dan peniaga kecil berlesen di seluruh negeri, Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Makmur Pahang memperuntukkan RM3 juta bagi pemberian lesen percuma kepada penjaja B40 sedia ada seluruh negeri Pahang.
“Seterusnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300,000 bagi memastikan rakyat memahami hala tuju ekonomi negeri melalui Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang atau PET-30,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

