Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Negeri Pahang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 5.7 peratus melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai RM 68.7 bilion.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, rekod KDNK Pahang turut dicatatkan meningkat sebanyak 23 peratus dalam tempoh 2019 hingga 2024 hasil daripada dasar pembangunan negeri yang strategik dan mampan.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila kutipan hasil Kerajaan Negeri berada pada tahap membanggakan dengan terus melepasi angka RM1 bilion untuk 4 tahun berturut turut sejak tahun 2022 disebabkan tadbir urus dinamik, pengukuhan kutipan hasil, keberkesanan usaha mengawal ketirisan serta lonjakan ekonomi.
“Pada tahun lalu, Negeri Pahang mencatat pertumbuhan KDNK 5.7 peratus melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata kenaikan KDNK ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta kemasukan pelabur yang konsisten dan peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Dalam pada itu, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) turut memainkan peranan penting dengan menyumbang RM3.16 bilion atau 4.6 peratus kepada KDNK Pahang tahun lalu melalui sembilan syarikat induk dan Badan Berkanun Negeri serta 49 anak syarikat yang berperanan sebagai pemacu ekonomi strategik negeri termasuk sebahagiannya ditubuhkan sejak tahun 2018,” katanya. – PAHANGMEDIA

