Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh gagasan Aspirasi Pahang 1st sebagai hala tuju pentadbiran negeri melalui penubuhan Akademi Pahang 1st.
Menurut YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penubuhan Akademi Pahang 1st mampu melahirkan insan terbaik untuk memantapkan pendidikan kenegaraan, pemahaman dasar kerajaan serta pembinaan kepimpinan.
“Keupayaan Pahang 1st dalam melahirkan insan terbaik diperkasakan melalui penubuhan Akademi Pahang 1st, satu platform strategik yang diwujudkan khusus untuk memantapkan pendidikan kenegaraan, pemahaman dasar kerajaan, serta pembinaan kepimpinan.
“Akademi ini memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang berilmu dan patriotik menyediakan pendidikan kenegaraan yang sistematik kepada penjawat awam, pemimpin masyarakat, GLC, NGO, belia dan mahasiswa serta menjalankan penyelidikan berterusan melalui Unit Penyelidikan dan Penerbitan bagi memastikan modul latihan yang digunakan sentiasa relevan dan efektif.
“Gagasan ini mendidik rakyat bahawa kemajuan negeri adalah tanggungjawab bersama. Dengan adanya platform berstruktur seperti Akademi Pahang 1st, kita yakin mampu melahirkan rakyat Pahang yang patriotik, berilmu, dan berdaya saing, sekaligus merealisasikan hasrat melahirkan insan terbaik dengan jati diri yang kukuh,” katanya.
Tambahnya, pelbagai pelan program juga telah dirangka di Akademi Pahang 1st bagi meneruskan momentum pelaksaan Aspirasi Pahang 1st pada tahun hadapan.
“Perancangan ini dilaksanakan melalui tiga unit utama, masing-masing dengan fokus dan sasaran capaian yang jelas. Unit Pahang Patriot menumpukan kepada pembinaan jati diri, semangat kenegerian, dan penghayatan nilai Pahang 1st dalam kalangan rakyat.
“Unit Pahang Lead bagi melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang berkualiti dan Unit Penyelidikan dan Penerbitan bagi memperkukuh dasar dan memperluas wacana pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. – PAHANGMEDIA

