Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2025 : Langkah mitigasi segera sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang melanda Taman PR1MA Pahang Sungai Karang, Balok, di sini susulan kejadian hujan lebat yang melanda daerah ini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, antara punca terjadinya banjir kilat berkenaan adalah kerana ketiadaan saliran utama aliran keluar air (main discharge) yang sempurna.
Katanya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian segera bagi melancarkan aliran air serta membersihkan kawasan saliran yang tersumbat.
“Jadi, untuk sementara ini kita terpaksalah mengambil tindakan segera dengan menggali (saliran) ini supaya kita dapat mengalirkan air. Saya dapati dekat kawasan-kawasan di lorong sebelah sana itu memang air tidak berjalan langsunglah.
“Saya berterima kasih kepada pihak MBK bersama LPHP dan saya nak tindakan segera diambil supaya dapat memastikan air ini dapat terus di salurkan dengan segeralah,” katanya ketika ditemui melakukan tinjauan banjir di kawasan perumahan terbabit, di sini hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati masalah utama bukan melibatkan ketidakpatuhan pembangunan, sebaliknya ketiadaan saluran pelepasan utama yang lengkap sehingga air tidak dapat dialirkan ke sungai berhampiran.

“Dari segi aspek pembangunan ini memang tak ada perkara yang dilakukan tidak betul. Cuma disebabkan ‘main discharge’ sana, flow (aliran) air itu tak dapat mengalir.
“Dan saya juga dapati bahawa di sini ada detention pond (kolam tadahan), itu mesti diselenggarakan dengan baik oleh pihak berkenaan,” ujarnya.
YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin juga telah membawa perkara berkaitan ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) dan Mesyuarat Pembangunan Negeri untuk memastikan setiap pembangunan baharu di kawasan bandar raya mempunyai sistem saliran terancang, tersusun serta mematuhi standard Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri mengusulkan supaya JPS menyediakan satu blueprint saliran komprehensif di seluruh kawasan pembangunan dalam negeri bagi memastikan perancangan jangka panjang yang lebih holistik, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat.
“Supaya setiap pembangunan di kawasan bandaraya ini kita mempunyai saliran yang baik. Terutamanya untuk mengalirkan air setiap kali mengalami hujan yang lebat,” ujarnya lagi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus memberi tumpuan kepada penyelenggaraan longkang serta sistem saliran agar aliran air sentiasa lancar dan tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat. -PAHANGMEDIA

