Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 27 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited terhadap kebajikan keluarga melalui pelaksanaan Insentif Makmur Pahang demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan dari Kerajaan Negeri bermula dari bayi yang baru lahir hinggalah warga emas.
“Melalui Insentif Makmur Pahang (IM Pahang), Kerajaan Negeri Pahang memastikan kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan daripada bayi yang baru lahir sehinggalah warga emas.
“Kerajaan Negeri amat menyedari bahawa kekuatan sebuah Negeri bukan hanya dihukum melalui kebajikan fizikal semata-mata tetapi ianya juga melalui kesejahteraan institusi kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2025 di Dewan Kompleks Padang Luas, Bera, hari ini.
Tambahnya, sambutan ini merupakan satu inisiatif nasional untuk memperkukuh peranan keluarga sebagai asas kesejahteraan masyarakat.

“Ini merupakan satu inisiatif nasional untuk meraikan, memperkukuh dan menyemarakkan peranan institusi keluarga sebagai asas kesejahteraan masyarakat.
“….membawa tema pada tahun ini, Kasih Keluarga Bahagia Bersama adalah seruan masyarakat untuk menghayati nilai kasih sayang, akhlak mulia, sihat dan juga selamat.
“Nilai kasih sayang inilah yang menjadi tunjang kepada pembinaan sasiah, jati diri dan perpaduan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dunia serba moden, institusi keluarga berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu yang memberi kesan terhadap keharmonian keluarga.
“Dalam dunia yang serba moden dan pantas berubah, institusi keluarga kini berdepan pelbagai cabaran baharu yang berpotensi menjejaskan keharmonian keluarga.
“Oleh itu, amat penting untuk kita memperkukuh semula nilai asas kekeluargaan seperti kasih sayang, kepercayaan, toleransi dan komunikasi yang berkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA

