Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 23 NOVEMBER 2025 : Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) turut membuka peluang kepada pasangan yang sudah berkahwin tetapi belum berkesempatan mengadakan majlis resepsi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, berkata peluang yang ditawarkan itu memberi ruang kepada pasangan yang ingin mengabadikan detik indah bersanding walaupun telah bernikah lebih awal.

“Kita juga menawarkan kepada pasangan yang contohnya kita buat bulan ini, dia dah kahwin dua bulan lepas, tapi tak ada (majlis) resepsi, itu pun kita tawarkan juga. Untuk dia mengabadikan momen-momen indah bersanding, ada jemputan ramai,”katanya ketika hadir ke Program Anggun Suri (Perkahwianna Beramai-ramai) Parlimen Jerantut, selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Program kali kelima dianjurkan pada tahun ini itu di dadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut dengan meraikan seramai lapan pasangan pengantin, termasuk dua pasangan Orang Asli beragama Islam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Tuan Haris Salleh Hamzah; Pegawai Daerah Jerantut, Tuan Sulaiman Husin; Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Parlimen Jerantut, Puan Hajah Norsarfinaz Mohd Azman; serta barisan pimpinan setempat.

YB. Dato Sabariah juga berkata, program itu diadakan sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat, khususnya golongan B40 yang berhasrat untuk berkahwin namun berdepan kekangan kewangan.
“Sebenarnya memang Kerajaan Negeri buat ini bagi membantu rakyat. Jadinya saya menyerulah kepada anak-anak muda di luar sana, golongan B40 yang ingin kahwin ataupun mungkin nak cepat tapi ada kekangan kewangan, boleh mencubalah mengisi borang untuk menyertai Anggun Suri daripada tahun depan, insyaAllah.” ujarnya.
Menurutnya, siri program Anggun Suri akan diteruskan di beberapa daerah lain termasuk Raub, Bentong, Lipis, Rompin dan Pekan, sebelum dijadualkan berakhir pada 20 Disember ini tertakluk kepada keadaan cuaca dan risiko banjir.

Mengulas mengenai penganjuran di Jerantut, beliau berkata setiap lokasi mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Yang saya tengok sebenarnya semua tempat spesial. Dia ada keistimewaan sendiri. Tapi di Jerantut hari ini kita nampak kelainannya di mana selain kita ada banyak kanopi kat luar, kita juga ada pasangan daripada Orang Asli tapi Muslim. Dua pasang.
“Kita sebenarnya menawarkan kepada semua masyarakat termasuk bangsa asing. Ya, sebenarnya memang itu hasrat kita (mempelbagaikan kaum),” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

