Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 NOVEMBER 2025 : Inisiatif Jualan Makmur sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan mencuri tumpuan apabila menawarkan ayam seekor dan ikan sekilogram pada harga hanya RM3.
Ia sekali gus menjadikan Jualan Makmur berkenaan sebagai jualan yang menawarkan harga termurah setakat ia diadakan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, berkata program berkonsepkan sentuhan langsung kepada rakyat itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Setakat ini, inilah rasanya harga yang terendah yang pernah kita buat. Sebab walaupun sebelum ini memang kita ada buat Jualan Makmur tapi ini adalah antara yang terendahlah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, yang berlangsung di Padang Belia Felda Bukit Goh, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Sharuddin Jali; serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.

YB. Dato’ Sabariah juga berkata, Kerajaan Negeri berharap inisiatif seumpama itu dapat diperluas ke daerah lain menerusi pelbagai program anjuran kerajaan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat secara langsung.
“Dan insyaAllah kita berharap supaya dapat diteruskan di tempat-tempat lain… maksudnya di program-program lain yang dianjurkan oleh kerajaan bukan sahaja untuk Karnival Aspirasi Pahang 1st,” ujarnya.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti CSR Santai @Pusara, Dapur Aokme, Malam Cinta Rasul, Ritma Aspirasi Pahang 1st yang menampilkan artis seperti Odda, Ameng dan Ammar, demonstrasi sukan lastik, Sentuhan Emas Pulut Kuning, serta Santai Bersama Tok Wan.
Selain menikmati harga jualan istimewa, orang ramai juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa motosikal dan motosikal elektrik, di samping mengunjungi reruai agensi Kerajaan Negeri dan swasta serta usahawan tempatan. -PAHANGMEDIA

