Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang pastikan mualaf di negeri ini diberikan bantuan dan bimbingan sewajarnya melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustruan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, pelaksanaan Program Inisiatif Makmur Pahang juga bagi memastikan tiada rakyat Pahang yang tercicir daripada menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Inisiatif ini bukan sekadar pemberian bantuan material, tetapi ia menzahirkan nilai kemanusiaan dan keislaman yang sebenar bahawa Islam datang membawa rahmat dan keadilan untuk semua.
“Kita ingin pastikan bahawa setiap mualaf ini tidak dibiarkan berjalan sendirian. Mereka perlu dibimbing, disokong, dan dirangkul supaya dapat menghayati Islam dengan kefahaman dan keyakinan yang mendalam.
“Pelbagai bentuk inisiatif telah pun dirancang dan juga dilaksanakan bagi memastikan Negeri Pahang berupaya menjadi pusat pengembangan Islam yang utama di negara ini,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan menerusi Inisiatif Makmur Pahang, Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan pelbagai bantuan melibatkan pengukuhan syiar Islam di negeri ini meliputi pelbagai kategori.
“…antaranya RM635,000 kepada lebih 3,000 mualaf dengan setiap seorang menerima RM200; RM7.8 juta kepada masjid dan surau kebenaran Jumaat sebanyak RM10,000 setiap institusi; RM400,000 kepada pusat tahfiz sebanyak RM2,000 setiap pusat.
“RM1.66 juta menerusi Program Barakah Haji kepada hampir 2,000 jemaah haji dengan RM750 setiap penerima; serta RM800,000 kepada pelajar tahfiz dengan bantuan RM100 setiap seorang,” katanya.
Beliau turut berharap agar umat Islam di negeri ini khususnya sentiasa berusaha memberi sumbagan sama ada tenaga atau buah fikiran bagi memperkasakan syariat Islam.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Pahang agar menyantuni saudara-saudara baharu kita dengan hati yang terbuka. Jangan pandang mereka sebagai orang luar, sebaliknya terimalah mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar ummah.
“Saya juga menyeru supaya pihak yang bertanggungjawab agar sentiasa terus mendekati saudara baharu kita dan didiklah mereka dengan kefahaman Islam yang sebenar dengan penuh semangat kebersamaan dan kasih sayang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santuni Saudaraku Sempena Penyampaian Inisiatif Makmur (Kluster Mualaf) Peringkat Zon Timur Bagi Daerah Kuantan dan Pekan Tahun 1447H / 2025M di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah 1.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain. -PAHANGMEDIA