Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2025 : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 5 November ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, segala persediaan awal termasuk dari segi pangkalan hadapan juga telah dilaksanakan dengan rapi.
“Setakat ini alhamdulillah… kita bukanlah kata kita tunggu banjir ataupun bencana datang tapi alhamdulillah kita telah bersiap siaga ke arah itu.
“Semua dah selesai. InsyaAllah.
Dan kita juga telah mengadakan kursus kesiapsiagaan bagi menghadapi monsun (MTL)” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sejambak Penghargaan Mengiktiraf Yang Terbaik JKM Negeri Pahang yang berlangsung di Swiss-BelHotel Kuantan, di sini, malam tadi. Turut hadir, Pengarah JKM Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad.
Dalam majlis berkenaan, seramai lima kakitangan JKM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, manakala dua orang pesara JKM Pahang yang bersara pada tahun 2024 dan 2025 turut diraikan bersama penerima-penerima sijil kecemerlangan lain daripada pelbagai program dan aktiviti.
“Yang terharu juga, kita juga meraikan dua orang pesara yang telah bersara pada tahun ini dan juga meraikan pekerja yang bertukar ke kementerian ataupun negeri lain.
“Ini adalah bagi kita menggalakkan penjawat awam bekerja dengan lebih dedikasi dan membantu dan bekerja. Saya suka menyebutnya, mereka bekerja dengan jiwa. JKM ini kita tahu ya, kebajikan masyarakat, membantu ramai tapi kalau tak bekerja dengan jiwa itu payah jugalah,” katanya memaklumkan program berkenaan turut mendapat tajaan Kerajaan Negeri.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja JKM Pahang atas pencapaian cemerlang yang telah diraih sepanjang tahun ini.
“Saya mengharapkan supaya penjawat awam khasnya JKM dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih bersemangat, dedikasi dan juga sentiasa berusaha untuk memajukan diri ke tahap yang lebih bagus lagi,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

