Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 OKTOBER 2025 : “Saya minta mereka berhati-hati di jalan raya, utamakan keselamatan dan kalau boleh dapat menikmati keindahan DUN (Dewan Undangan Negeri) Jelai yang saya wakili semenjak lima penggal yang lepas.”
Demikian pesan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada peserta yang hadir ke Hogoh Jelai di DUN Jelai anjuran pihak pembangkang, semalam.
Katanya, walaupun tidak menerima laporan lengkap mengenai kehadiran peserta yang difahamkan tidak mencapai sasaran seramai 30,000 orang, namun beliau tetap mengalu-alukan kehadiran mereka ke DUN Jelai.
“Saya tidak mendapat laporan secara lengkap tetapi saya dimaklumkan target 30,000 itu jauh daripada yang mereka sasarkan.
“Dan seperti biasa saya ucapkan selamat datang dan saya harap mereka dapat melihat pembangunan di Jelai, masjid yang cantik, dua buah kampung yang dinobatkan di peringkat negeri dan kebangsaan, layanan daripada penduduk-penduduk tempatan, dan kemudahan-kemudahan asas yang disediakan.
“Dan saya mengalu-alukan kehadiran mereka dan yang datang pun bukan calang-calang juga. Tapi kita menghormati kehadiran mereka di DUN Jelai,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Pentadbiran Tanah dan Daerah Negeri Pahang (SUKTAP) Kali Ke-6 Tahun 2025 bertempat di Mini Stadium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, barisan pegawai daerah dan ketua-ketua jabatan.
YAB Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyatakan bahawa kunjungan kesemua peserta berkenaan diharap dapat membuka mata terhadap kemajuan pesat dan kesejahteraan masyarakat di DUN Jelai.
Tambahnya, DUN Jelai mempunyai keunikan tersendiri dan ianya terbukti apabila majoriti undi meningkat dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) meskipun berdepan pelbagai cabaran disebalik tsunami politik yang berlaku.
“Kalau boleh mereka tanya juga apa keistimewaan DUN Jelai ini kerana setiap kali pilihan raya majoritinya meningkat. Daripada tahun 2004 mungkin mereka boleh tanya penduduk DUN Jelai apakah sebab di sebalik tsunami politik dan sebagainya, majoriti di DUN Jelai meningkat.
“Malahan PRU baru-baru ini Jelai majoritinya adalah yang tertinggi di kalangan semua DUN di Pahang ini. Mungkin mereka mencari apa keistimewaan, apa kelebihan yang ada di Jelai, apa kelebihan wakil rakyat yang menyebabkan majoritinya meningkat.
“Ini saya katakan demikian kerana angka tidak pernah berbohong. Saya tidak ‘syok sendiri’ kerana angka boleh diukur dan mereka boleh melihat prestasi bila setiap kali pilihan raya majoriti di DUN Jelai ini meningkat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

